NEWS

Habis terjual

By December 3, 2018 No Comments

Source from: 16 Apr 2018 - www.pressreader.com

Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yakin pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) di PR1MA @ A’Famosa di sini, menyediakan peluang terbaik buat golongan berpendapatan sederhana (M40) untuk memiliki rumah berkualiti dan strategik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, PR1MA @ A’Famosa adalah perintis pembangunan di kawasan itu mengandungi 280 unit rumah teres dua tingkat dan 475 unit pangsapuri dengan nilai pembangunan kasar lebih RM188 juta.

“Projek ini mendapat sambutan baik daripada pembeli selepas dibuka untuk jualan sejak Disember 2017.

“Rumah teres dua tingkat yang dilancarkan habis dijual manakala unit pangsapuri mendapat sambutan hebat.

“Pembangunan ini memenuhi permintaan semakin meningkat bagi rumah selesa dan berkualiti terutama dalam kalangan M40,” katanya selepas pelancaran PR1MA@ A’Famosa yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron di sini, semalam.

PR1MA adalah agensi yang ditubuhkan untuk membina rumah berkualiti tinggi bagi golongan berpendapatan sederhana dengan pendapatan isi rumah antara RM2,500 hingga RM15,000 sebulan.

Projek unit kediaman di PR1MA@ A’Famosa dijual pada harga bermula RM168,000 seunit sekurang-kurangnya 20 peratus rendah daripada harga pasaran di kawasan sekitar.

Sehingga kini, PR1MA menawarkan 20,420 unit perumahan membabitkan 19 projek dengan nilai pembangunan kasar hingga RM5.1 bilion termasuk di Melaka antaranya A’Famosa di Alor Gajah, Klebang di Melaka Tengah dan Ayer Panas di Jasin.

Sementara itu, Idris berkata, kerajaan negeri terus memberi sokongan padu kepada agensi perumahan kerajaan termasuk PR1MA dalam melaksanakan usaha proaktif untuk mempertingkatkan kadar pemilikan rumah di Melaka.

“Inilah yang disebut mengotakan janji oleh Kerajaan Persekutuan semata-mata untuk membantu rakyat berpendapatan rendah dan sederhana. Bukan seperti kata pihak lain yang menuding jari dan mengatakan hanya janji manis kerajaan.

“Kerajaan negeri sejak 2014 mewajibkan setiap pemaju memperuntukkan 40 peratus daripada projek pembinaan pembangunan yang melebihi 3.24 hektar untuk perumahan mampu milik,” katanya.

Source from: 16 Apr 2018 - www.pressreader.com