NEWS

Tanjung Ratna bangun kondominium mewah RM500 juta di Kota Laksamana

By December 11, 2019 No Comments

Sumber dari : 04 Februari 2019 - www.bharian.com

MELAKA: Projek kondominium mewah, Admiral Residences bernilai kira-kira RM500 juta, yang akan dibangunkan Tanjung Ratna Sdn Bhd di Kota Laksamana di sini, dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun selepas kerja-kerja pembangunannya bermula akhir bulan ini.

​​​​​​Ketua Pegawai Eksekutif Tanjung Ratna Sdn Bhd, Datuk Julian Lau, berkata projek yang membabitkan empat blok itu menawarkan 1,440 unit kondominium empat bilik dan tiga bilik pada harga serendah RM296,000 bagi kuota Bumiputera dan RM328,000 untuk bukan Bumiputera menerusi dua fasa.

Beliau berkata, bagi fasa pertama ia membabitkan pembangunan dua blok, iaitu A dan B, dengan 720 unit kondominium. Blok A habis dijual manakala blok B pula mencecah jualan 50 peratus.

“Fasa kedua pula yang membabitkan blok C dan D, dijangka dibangunkan pada suku kedua tahun ini membabitkan 720 unit kondominium. Projek ini berstatus pegangan sementara dan tapak tanah pula berstatus kediaman berbanding pembangunan lain di sekitarnya yang berstatus komersial.

“Daripada keseluruhan jumlah unit itu, 40 peratus daripadanya untuk kuota Bumiputera selain mereka akan mendapat 10 peratus diskaun daripada kerajaan negeri Melaka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Admiral Residences di sini Sabtu lalu.

Majlis itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dan turut dihadiri Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Laksamana Low Chee Leong serta Ketua Pegawai Operasi Tanjung Ratna Sdn Bhd, Allan Chee.

Mengulas lanjut, Lau berkata secara keseluruhan, berdasarkan penjualan bagi fasa satu, hampir 95 peratus pembeli adalah anak kelahiran negeri Melaka dan mereka membeli premis itu bagi kegunaan sendiri dan bukan untuk dijual semula.

Beliau berkata sehingga kini, hanya kira-kira 15 peratus penolakan pinjaman pembiayaan bank membabitkan pembelian kondominum itu dan angka itu dilihat amat rendah berbanding projek lain sekitar 50 peratus.

Sementara itu, katanya syarikat itu melabur kira-kira RM5 juta untuk mengguna pakai teknologi solar di bangunan premis kediaman itu dan ia bakal memberi penjimatan perbelanjaan bil elektrik kepada penghuni sehingga RM400,000 setahun.

Beliau berkata, inisiatif itu selaras amalan hijau yang ditekankan kerajaan negeri selain memupuk budaya hijau dalam kalangan penghuni.

“Teknologi itu mampu menjana lebih 720,000 kilowatt sejam dan pembeli bakal menikmati caj bil elektrik yang lebih rendah dengan penjimatan kira-kira RM30 sebulan. Selain itu, mereka juga dapat menikmati pelbagai caj lain yang lebih murah seperti bil air, cukai taksiran harta dan pintu serta yuran pengurusan kerana projek ini dibangunkan di tanah komersial yang ditukar kepada kediaman,” katanya.

Admiral Residences dibangunkan di tanah seluas kira-kira 4.86 hektar dengan dua pilihan, iaitu unit berkeluasan 1,069 kaki persegi dengan tiga bilik dan dua bilik air serta 1,159 kaki persegi untuk unit empat bilik dan dua bilik air.

Pelbagai kemudahan lain turut disediakan seperti ‘infinity pool’ dan kolam renang, tiga gelanggang badminton, dua gelanggang tenis, sebuah padang bola dan bola keranjang yang dilengkapi kawalan keselamatan 24 jam, dewan serbaguna dan gimnasium.

Sumber dari : 04 Februari 2019 - www.bharian.com